Terengganu telah lama ada Hypermarket. Sebelum ada Sabasun dan Mydin. Konsepnya sama saja. Kawasan yang luas, pelbagai pilihan barangan dan harga yang ditawarkan murah. Cuma bezanya, tak ada bumbung, tak ada hawadingin, tak banyak barangan yang siap dibungkus, makanan dalam tin atau makanan dalam plastik.Ini adalah kerana semua barangan yang ditawarkan adalah barangan segar, sayur-sayuran baru dipetik dari kebun, kuih-kuih baru yang dibuat khusus untuk jualan hari itu sahaja, begitu juga ayam, daging dan ikan.
Ayam kampung, telur ayam kampung, sawi kampung, timun kampung, itik kampung pun ada. Itulah pasar minggu Manir atau lebih dikenali dengan panggilan Pasar Manir sahaja.Jalan utama di hadapan pasar Manir semakin sesak setiap Sabtu. Tempat letak kereta yang tidak cukup (tidak disediakan pun!) menjadikan ia semakin kelam kabut. Jarang-jarang sekali khidmat pihak berkuasa kelihatan di pasar Manir
Lihatlah deretan peniaga gerai usang dan peniaga cangkung di pasar Manir, yang membawa hasil-hasil tani dan industri asas tani dari kampung-kampung sekitar.Pasar Manir bukan hanya pasar perniagaan, tetapi sudah jadi pasar budaya. Setiap hari Sabtu ramai yang datang melepas rindu, pusing-pusing Pasar Manir sambil membeli barang yang perlu. Yang datang berniaga bukan harap akan pulang membawa saku penuh dengan duit tetapi membawa hasil kebun; kunyit, lengkuas, cekur, buah katak, membawa ayam itik kampong, ikan puyu, ikan keli, kuih badak, roti paun dan ketupat ubi, menjaja bakul hasil tangan (kraf), ma’ajun dan ubat huluran. Walaupun pulang dengan hasil tak seberapa, tapi puas melihat orang ramai dan bertemu muka bersua mata rakan taulan, yang jauh dan dekat. Cukup meriah !
Foto kelmarin 030207, dapat di lihat betapa bersesak-sesak rakyat yang bergerak dicelah-celah gerai dan jualan cangkungNamun sesungguhnya budaya Pasar Manir lama kelamaan mungkin hilang. Kawasan perniagaan gerai dan cangkung di pasar Manir semakin mengecil apabila pihak berkuasa mendirikan bangunan kekal. Malangnya sudah hampir setahun, kerja-kerja penyudahan tidak nampak akan selesai !
No comments:
Post a Comment