Wednesday, June 13, 2012

Makhluk Berubah Tapi Umno, Dulu Kini dan Selamanya, Tidak Berubah

Bekas Pengurus Petronas Dagangan Abdullah Ali dan Bekas Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Abdul Rahman Taib adalah anak kelahiran Terengganu yang telah lama merantau di negeri orang.

Kedua-dua mereka kini mengubah haluan politik, menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana berkongsi keputusan yang sama, parti Umno tidak boleh dipercayai lagi.

Abdullah yang juga bekas Pengurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN.

Oleh itu, anak kelahiran Kampung Bukit Payong itu berkata, tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

“Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya,

“membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan,” ujarnya selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 14 Februari lalu

Ketika menceritakan mengapa pula beliau menyertai PAS, Abdul Rahman Taib berkata, kerana jawatan kanannya dalam LPP, beliau kerap diundang untuk bersama pemimpin Umno dalam siri-siri ceramah.

Beliau yang berasal dari Kampung Manir berkata, dalam ceramah-ceramah tersebut, apa yang dikatakan oleh pemimpin Umno tidak sama dengan apa yang dilakukan mereka.


Rawatan Secara ‘Panadol’

Sebagai contohnya, kata Abdul Rahman, pemimpin Umno sebenarnya bukanlah mahu menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya memberi rakyat kesenangan sementara.

“sebagai contoh, mereka ini(pemimpin Umno) mengatakan kalau kita nak selesaikan satu-satu masalah, buat macam ‘panadol’ tak payah selesai secara serius satu-satu isu itu,

“contoh kalau ada banjir, kalau ada bantuan beri supaya rakyat seronok sahaja, seronok seminggu dua minggu pun cukup, tak payah bagi mereka (rakyat) kekal senang selama-lamanya,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Selamat Tinggal Umno di Chukai pada 26 Mei lalu.

Justeru, beliau menyedari perkara tersebut dan ‘berubah’ dari menjadi ahli Umno kepada menjadi ahli PAS dan bersedia memberikan khidmatnya supaya PAS dapat menggantikan Umno di negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

“sebagai makhluk Allah semuanya tidak kekal semua berubah, saya dan rakan-rakan semua berubah, dulu daripada Umno telah masuk PAS,

“makhluk mesti berubah, cuma Umno sahaja dengan slogannya dulu, kini dan selamanya, seolah-olah tidak berubah, menentang fitrah Allah SWT,”tambahnya.


Umno Sudah Terlalu Rosak

“Umno sudah terlalu rosak. Arwah ayah saya adalah salah seorang pengasas Umno Cawangan Kerandang, Jabi. Puluhan tahun dia berjuang dalam Umno.

“Diakhir usianya, dia ada pesan kepada kami anak-anak, bo bo lah (cukuplah)dengan Umno (cukuplah dengan Umno). Punoh (rosak) dari kepala sapa (sampai) ke ekor. Kita hidup ni nak mati. Mampukah Umno yang memisahkan antara politik dan agama menyelamatkan kita dalam kubur?”

Itulah antara luahan seorang bekas penyokong tegar Umno, Marzuki Mohamad, yang dikenali sebagai Zuki sahaja.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan Mahabbah bersama pimpinan Majlis Tindakan Dun (MTD) Jabi pada 4 Jun baru-baru ini.

Pertemuan tersebut diaturkan di sebuah lokasi di Lata Belatan, dihadiri 15 bekas penyokong tegar Umno dari beberapa cawangan antaranya, Gong Pasir, Kerandang, Anak Ikan dan Tok Dor dalam.

Menurut Pengerusi MTD Jabi, Dr Azman Ibrahim, mereka hadir atas kesedaran sendiri tanpa apa-apa janji ganjaran dan pemberian.

Katanya, Zuki dan rakan-rakannya hadir dalam majlis yang cukup ceria dan kesempatan yang terbaik untuk berkenalan dengan lebih dekat serta bertukar-tukar pendangan.

Diakhir pertemuan tersebut, Zuki dan rakan-rakannya berjanji setia untuk bersama menyertai PAS kerana menurut mereka, Umno sudah tiada tempat lagi di sudut hati mereka.

Pada Jumaat 8hb Jun, seramai 54 orang ahli Umno dalam kawasan Dewan Undangan (DUN) Jertih, Besut,  telah keluar dari parti itu dan menyertai PAS secara rasminya.

Salah seorang dari mereka, Mohd Rahimi Mat Nazir, 34, dari Kampung Lak-Lok, Jertih berkata penyertaannya dalam PAS setelah melihat kebenaran perjuangan parti itu.

Menurutnya, jika mana-mana pihak yang mengkaji Islam serta mempelajari ilmu agama akan dapat melihat kebenaran perjuangan parti PAS.

Justeru, beliau bertekad bersama rakan-rakan yang baru menyertai PAS akan berjuang demi kedaulatan Islam.

“Sebelum ini, saya berkhidmat bersama dengan Umno dan pimpinan Umno yang berjawatan tinggi dalam parti hari ini.

“Setelah usia saya semakin meningkat dan mempelajari ilum-ilmu agama. Saya dapat lihat kebenaran antara parti Umno dengan PAS.

“Sebab itu, saya dan rakan-rakan lain ambil keputusan untuk bersama dengan PAS, berjuang dalam PAS dan meninggalkan Umno-Barisan Nasional, Insya’Allah,” jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Ceramah Umum “Selamat Tinggal Umno” di Kampung Bukit Yong, Jertih.