Tuesday, June 18, 2013

Perlantikan Zubir; ‘Ghanimah’ Orang Kalah Perang

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri yang baru dilantik, Mohd Zubir Embong.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan cadangan dari Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengemukakan nama Zubir sebagai Speaker  Dun yang baru dan disokong Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di depan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Azhar Jusoh pada pukul 9.42 pagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi mengangkat sumpah 32 Adun tersebut yang diketuai Ahmad yang juga Adun Kijal pada pukul 9.50 pagi di  depan Speaker Dun yang baru.

Zubir ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang melantiknya menjawat jawatan itu dan berjanji akan mengendalikan persidangan Dun dengan baik, bukan dengan adil dan saksama.

Selaku Speaker, sepatutnya tidak berpihak, Zubir seharusnya memberikan hak yang sama kepada kedua-dua belah pihak samada dari kerajaan atau pun pembangkang dalam DUN.

Namun, semua pihak tahu, pelantikan beliau selaku Speaker Dun merupakan ‘hadiah’ kepada pengorbanan Zubir dan kemenangan tipis Umno-BN Terengganu keatas PAS dan Pakatan Rakyat, dalam pilihanraya umum kali ke-13 lalu.

Mohd Zubir, bekas Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu namun kalah kepada calon PAS, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Zubir mendapat 35,043, kurang lebih 10,000 undi di belakang Raja Bahrin yang mendapat kepercayaan dari 45,828 orang pengundi.

Beliau bukanlah calon popular yang disebut-sebut untuk dilantik ke jawatan tersebut memandangkan pengalaman ‘setahun jagung’ beliau dalam arena politik khususnya di negeri Terengganu.

Ramai yang membuat telahan bekas calon Parlimen Dungun yang juga Ketua Bahagian Umno Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan akan dilantik sebagai Speaker Dun.

Pak Rosli bukan sahaja berpengalaman, tenggelam timbul dalam politik Umno Terengganu, bahkan beliau adalah ketua ‘bilik perang’ Ahmad Said selaku Pegarah Strategi Umno Terengganu.

Namun, kerana Pak Rosli yang ‘antik’ itu, mungkin di lihat ‘tidak suci’, berbanding ‘Zubir’ yang masih ‘dara’ yang belum terpalit dengan ‘dosa dan noda’.

Rekod dan kad laporan Pak Rosli yang digelar ‘Dr.Jepun’ mungkin tidak sebersih dari segi akademiknya berbanding Cikgu Zubir, kerana ada ‘tanda hitam’ dalam kurungan ‘rasuah’, tercatat dalam salah satu kolum prestasi Pak Rosli.

Selain itu, walaupun masih menganggur, selepas kalah di Parlimen Dungun dengan calon PAS, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly, Pak Rosli dilaporkan masih banyak wang dalam simpanan.

Berbanding Zubir,  yang tidak lagi bekerja dan benar-benar menganggur setelah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Zubir dipilih bukan kerana prestasi akademik dan bukan kerana rekod perkhidmatan di Jabatan yang baik, jauh sekali kerana populariti beliau samada di bidang pendidikan  atau bidang politik.

Sehingga kini, tak ada guru-guru yang mengangkat ‘ibu jari’ apabila ditanya tentang rekod Zubir, sepanjang perkhidmatannya di Jabatan.

Orang-orang Umno Kuala Terenggau diperingkat ‘akar umbi’ pun tidak kenal Zubir dari segi khidmat politik berbanding nama-nama ahli politik lain, umpamanya Wan Bersaudara, anak-anak Wan Salleh, Wan Farid dan Wan Hisham.

Zubir dilantik menjadi Speaker Dun kerana jawatan itu merupakan ‘ghanimah’ kepada mereka yang kalah perang, seperti Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Datuk Che Mat Jusoh sebelum ini.

Thursday, June 6, 2013

Umno Semakin Hampir Kepada ‘Komunisme’

Alasan yang mendakwa gandingan mantap Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah yang terbaik untuk menjayakan segala program transformasi parti, bukanlah satu sebab untuk menolak demokrasi dan pemilihan dalam Umno.

Kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu dikekalkan kerana kepimpinan mereka masih diperlukan untuk memacu Umno dan memenuhi aspirasi BN sebenarnya amat berbahaya kepada Umno dan BN, dan demokrasi negara ini.

Samada Zahid selaku Naib Presiden sedar atau tidak, atau ada tujuan tertentu yang ‘terselit’ dicelah nafsunya, cadangan beliau akan menjadi ancaman kesinambungan kepimpinan Umno dan BN yang masih memegang tampuk pemerintahan negara ini.

Zahid sudah pun menunjukkan sikapnya, yang lebih otokratik, sebaik menjawat orang yang paling berkuasa dengan jawatan Menteri Dalam Negeri menutup ruang bersuara yang menjadi asas demokrasi, merampas akhbar parti-parti lawan Harakah dan Roket.

Zahid sudah menunjukkan belang menjadi Umno semakin hampir kepada ‘komunis’ apabila beliau menangkap dan menahan pemimpin termasuk pemimpin mahasiswa yang menggunakan ruang demokrasi untuk bersuara.

Dan apabila Zahid menyokong cadangan Umno Negeri Sembilan yang menyuarakan pendirian bahawa kedua-dua jawatan itu tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, Zahid sedang menjalarkan, ‘kuku besi’nya ke atas ahli-ahli Umno dari partinya sendiri.

Tindakan Zahid itu, hanya mengesahkan ‘bebelan’ si Tua Mahathir yang menyatakan orang-orang Melayu sudah merasa meluat dengan Umno dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair.

Tiadanya pemilihan dalam Umno, walau pun pada jawatan yang tertinggi parti, mengiyakan tulisan Mahathir dalam blognya yang berkata, pemimpin Umno kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.

“Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. Umno adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai Umno,” selar Mahathir.