Friday, December 2, 2011

Polis ditahan reman kes rompakan bersenjata

- Apa komen ACP KCK Ahmad Hairudin Mokhtar?
Isnin lalu, dilaporkan, dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan satu dulang barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Wakaf Tapai

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi ketika enam orang pekerja kedai emas itu sedang sibuk menyusun barang kemas untuk memulakan perniagaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Ahmad Mazlan Yahaya, dua lelaki memakai topi keledar menutup muka meluru masuk kedalam kedai itu dan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah pekerja kedai di kaunter, manakala seorang lagi terus memecahkan cermin pameran.

Kata Mazlan, semasa hendak melarikan diri, suspek terserempak dengan pemilik kedai emas dan bertindak melepaskan tembakan, namun pemilik kedai itu sempat berlindung di tepi sebuah kereta.

"Selepas melepaskan tembakan kedua-dua suspek yang menaiki motorsikal Yamaha LC melarikan diri menghala ke arah Bukit Payong," katanya .

Apa yang memeranjatkan adalah, dilaporkan senjata yang digunakan oleh perompak tersebut adalah pistol automatik yang biasanya digunakan oleh anggota keselamatan.

Ekoran kejadian itu, pada Rabu 30 November, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal adalah antara dua lelaki yang disyakki melakukan romapakan tersebut.

Kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan bersenjata terbabit.

Perintah reman sehingga 6 Disember itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Rusli Ahmad mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Anggota polis berusia 20-an itu dikatakan bertugas di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Hulu Terengganu ditangkap bersama rakannya, orang awam juga berusia 20-an, pada petang Selasa.

Dua belas hari sebelum kejadian rompakan bersenjata itu, pihak polis yang sepatutnya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam telah digunakan oleh Umno untuk memburuk-burukkan pemimpin PAS.

Menurut Ketua Pemuda PAS Terengganu, pegawai polis tersebut bernama 'Khairuddin' dan berpangkat DSP menuduh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu sebagai komunis dan Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim di label sebagai 'penjahat'.

Ramai lagi pemimpin PAS yang disebut pegawai terbabit, yang dikenal pasti adalah ACP Ahmad Hairudin Mokhtar, Ketua Cawangan Khas (Special Branch) Kontinjen Polis negeri Terengganu.

Ketua Polis negeri Terengganu SAC Dato Jamshah Mustapa sepatutnya tidak membenarkan anggotanya, apatah lagi pegawai kanannya mengeluarkan kenyataan 'jahat' sebegitu.

Anggota Polis Diraja Malaysia tidak wajar sekali-kali bertindak sebagaimana tindakan anggota polis pada zaman penjajahan British yang menangkap dan membunuh orang Melayu.

Perbuatan 'memfitnah' lebih dahsyat membunuh, justeru ia mesti dijauhi oleh anggota keselamatan yang berkhidmat dan dibayar oleh rakyat.

Sebagai anggota keselamatan, Hairudin sepatutnya tidak tunduk dengan arahan Umno untuk bercakap 'hodoh' dalam Program Multaqa Guru-guru J-Qaf yang diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 pada Rabu 16 November.

Yang nyata, Anwar yang dikatakan sebagai 'penjahat' dan Mad Sabu tidak pernah merompak dan tidak pernah menggunakan senjata api, walaupun dituduh komunis oleh Hairudin.