Tuesday, October 2, 2012

Misteri Samsiah

Pada 3 September 2012, media perdana menerbitkan berita Hajah Samsiah binti Dato' Haji Awang dilaporkan mencatat sejarah sebagai wanita pertama menerajui jabatan agama di negara ini apabila beliau dikatakan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru.
  
Samsiah, 54, yang dilantik 26 Ogos lalu berazam memberikan khidmat terbaik kepada seluruh umat Islam di Terengganu. Beliau terharu dengan keyakinan dan kepercayaan kerajaan negeri terhadap kredibilitinya.
  
"Saya berharap mendapat sokongan dari semua petugas jabatan ini untuk sama-sama memastikan khidmat kita terus cemerlang demi memastikan kemaslahatan (kesejahteraan) umat Islam negeri ini terus terjaga.
  
"Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan meminta petunjuk dari Allah sekiranya terdapat masalah dan cabaran besar untuk bergerak seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang mahu Terengganu terus maju dengan syiar Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pekerja cemerlang JHEAT.
  
Samsiah yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah JHEAT, dilantik menggantikan Mohd Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Samsiah yang mempunyai sembilan orang anak dan sembilan orang cucu berkata pelantikan itu adalah tanggungjawab besar yang perlu digalas namun beliau tetap yakin mampu menyumbang khidmat cemerlang hasil konsep kerja berkumpulan petugas di jabatan itu.
  
Pengalaman luas Samsiah dalam bidang keagamaan bermula sejak kecil dan hasrat beliau kini ialah meneruskan impian kedua ibu bapanya dalam menegakkan syair Islam, di Terengganu.
  
"Arwah ayah saya, Awang Ismail adalah bekas Imam Masjid Negeri dan guru agama kepada Allahyarham Sultan Mahmud, ayahanda kepada Sultan Terengganu sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abdidin. 
  
"Arwah suami saya pula, Rozali Awang ialah bekas ketua penolong pengarah di JHEAT dan meninggal tiga tahun lalu," katanya yang dipetik agensi Bernama


Kerajaan Menafikan Pula

Tiba- tiba pada 26 September 2012 Kerajaan Negeri Terengganu pada Rabu menafikan Samsiah Awang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) seperti dilaporkan oleh media pada awal bulan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata Samsiah, 54, pada masa ini hanya menjalankan tugas sebagai pengarah jabatan itu dan memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah (Dakwah) JHEAT.

"Beliau tidak memangku jawatan itu, masa ini hanya menjalankan tugas sebagai pengarah.

"Kuasa melantik Pengarah JHEAT terletak di tangan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Media pada 3 Sept lepas melaporkan Samsiah dilantik sebagai Pengarah JHEAT pada 26 Ogos lepas menggantikan Mohd Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dan mencatat sejarah sebagai wanita pertama menerajui jabatan agama di negara ini.


Misteri Samsiah

Sebaliknya pelantikan Samsiah terus dikesan sebagai suatu misteri apabila beliau menandatangani satu dokumen selaku Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu.

Sedangkan dalam carta organisasi JHEAT dipaparkan Pesuruhjaya adalah Tuan Haji Rozali Salleh dan Timbalan-timbalannya adalah Tuan Haji Omar bin Musa dan Tuan Haji Mat Arsad Mohamed.

Samsiah hanyalah KPP Bahagian Dakwah yang tidak mungkin boleh menandatangani dokumen atas nama Pesuruhjaya kerana 'rankingnya' yang jauh ke bawah sebanyak dua tangga.

No comments: