Thursday, February 12, 2009

Sama Tapi Tak Serupa


Kaum India Perak tidak akan terabai

IPOH 8 Feb. - Masyarakat India di negeri ini tidak perlu bimbang kerana mereka dijamin akan mempunyai wakil dalam kerajaan negeri Perak, kata Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai mekanisme untuk memastikan kaum itu mempunyai wakil dalam kerajaan negeri walaupun tiada wakil rakyat India dalam Barisan Nasional (BN) Perak.

''Kepentingan masyarakat India di negeri ini tidak akan diabaikan dan mereka dijamin akan mempunyai wakil dalam kerajaan negeri," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita semasa menyaksikan masyarakat India menyambut perayaan Thaipusam di Kuil Subramaniar, Gunung Cheroh di sini hari ini.

Semasa lawatan itu, Zambry turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kuil Subramaniar pada tahun ini.

Turut serta, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah dan Pengerusi MIC Perak, Datuk G. Rajoo.

Sementara itu, Rajoo memberitahu, MIC berharap jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diberikan kepada kaum India.

Katanya, ini kerana Speaker DUN boleh dilantik dari kalangan bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

''Kita sudah menghantar tiga nama yang mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai Speaker DUN Perak.

''Selain itu MIC juga berharap seorang pegawai bertaraf exco dapat dilantik khusus bagi menjaga kepentingan masyarakat India di negeri ini," katanya.

Murugiah yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak dan Kebangsaan berkata, pihaknya tidak akan mendesak atau memberi tekanan kepada BN supaya memberikan jawatan kepada wakil kaum India di negeri ini.

''Apa yang penting, kita mahu kebajikan masyarakat India di negeri ini dijaga," ujar beliau.

Murugiah berkata, selain menjaga Biro Pengaduan Awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga telah mengarahkan beliau untuk menjaga kebajikan masyarakat India.



No comments: