Tuesday, January 25, 2011

Rekod Terengganu terus tercalar; Penagih meningkat 21%, Pengedar Bertambah 24%, 11,539 keseluruhan

Terengganu adalah antara negeri yang paling 'top' berkaitan penagihan dadah dan pengedaran dadah di Malaysia apabila pada bulan September tahun lalu dilaporkan Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi.

Sepanjang tujuh bulan pertama tahun 2010, sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

Sehubungan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu telah berjaya menangkap seramai 357 pembekal dadah di negeri ini Sepanjang tahun lalu (2010)

Ketuanya, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, jumlah itu meningkat seramai 68 orang, iaitu sebanyak 24 peratus pada 2009, yang hanya berjumlah 289 orang.

Menurutnya, pengedar yang tidak dapat dituduh, di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) 1985 berjumlah 88 orang berbanding 81 orang pada 2009, meningkat sebanyak sembilan peratus.

“Jumlah pengguna dadah bagi tahun 2010 pula adalah seramai 11,094 orang, berbanding 9,190 orang pada 2009. Ia menunjukkan peningkatan seramai 1,904 orang atau bersamaan 21 peratus.

“Jumlah keseluruhan bagi pengedar dan pengguna dadah dan mereka yang di bawah LLPK adalah 11,539 orang, berbanding 9,560 pada 2009, iaitu peningkatan seramai 1,979 orang atau 21 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya.

Menurut beliau, jumlah individu yang dituduh di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori sekiranya didapati bersalah juga meningkat, iaitu seramai 81 orang pada 2010.

Katanya, semua pesalah telahpun dituduh di mahkamah. Berbanding pada 2009, jumlahnya hanya 47 orang iaitu meningkat 34 orang atau bersamaan 72 peratus.

Menurutnya, peningkatan jumlah pengedar dan pengguna dadah sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan dan beliau mengharapkan satu langkah terbaik dilaksanakan bagi mengekang masalah ini, termasuk memulihkan penagih sedia ada daripada kembali menagih.

Katanya, jumlah keanggotaan kira-kira 200 orang di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu kini sebenarnya terlalu kecil bagi mengekang masalah dadah secara keseluruhannya.

“Pihak polis mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam membanteras aktviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini yang banyak merosakkan generasi belia dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam bulan Januari, sehingga kini, sekurang-kurangnya 5 berita berkaitan dadah yang dipaparkan dalam media perdana sebagaimana dibawah.

Tiga remaja ditahan, miliki 50 pil kuda


SETIU 24 Jan (Sinar Harian) – Seorang remaja lelaki yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan bersama dua lagi rakan berumur antara 16 dan 24 tahun di sebuah rumah milik salah seorang keluarga suspek di Kampung Bukit Maras, Banggol dalam Ops Tapis.

Pemangku Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Asistan Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari bahagian narkotik diketuai Cif Inspektor Mohd Fahmiy Mohd Zain dan enam anggota berjaya menemui 50 biji pil kuda dalam beg milik seorang suspek yang dianggarkan bernilai RM1,500.

“Hasil siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai penoreh getah, mereka mengaku mendapatkan bekalan pil kuda daripada seorang kenalan dan polis kini berusaha mengesan kenalan suspek.

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 39 a (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif pil kuda," katanya.

Menurut Abdul Hamid, ketiga mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000,” katanya.

Kes ini disiasat Pegawai Penyiasat, Inspektor Abang Zulkarnain Abang Kerni. - Sinar Harian

Polis tahan 11 pengedar, penagih dalam 5 serbuan


KUALA TERENGGANU 23 Jan (Sinar Harian) - Polis berjaya menahan 11 lelaki yang disyaki pengedar serta penagih dadah dalam lima serbuan berasingan di seluruh daerah di negeri ini, bermula 19 Januari lalu.

Hasil serbuan itu juga, polis berjaya merampas 3,740 pil kuda, 40 gram heroin dan dua buah kereta dengan jumlah anggaran rampasan secara keseluruhan bernilai RM156,624.

Ketua Jabatan Siasa-tan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, serbuan pertama di lakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Kasim, Hulu Terengganu pada jam 4.30 petang, 19 Januari dan berjaya menahan dua lelaki Melayu berumur 19 dan 28 tahun.

“Semasa hendak ditangkap, salah seorang daripada suspek telah membuang satu bungkusan berwarna hitam ke lantai rumah dan apabila diperiksa, bungkusan itu mengandungi sejumlah 1,940 pil disyaki WY jenis pil kuda yang mengandungi methamphetamine dianggarkan bernilai RM67,900,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, semalam.

Menurut Roslan, susu-lan penangkapan dua lelaki yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang itu, polis menyita sebuah kereta jenis Proton Perdana bernilai RM26,000, barang kemas bernilai RM600 dan wang di bank bernilai RM41,364.

Kedua-dua lelaki itu kini direman oleh mahkamah bagi tujuan penyiasa-tan di bahagian Narkotik sehingga 26 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Roslan berkata, dalam serbuan kedua hari yang sama pada jam 9.30 malam, polis berjaya menahan seorang lelaki Melayu berumur 29 tahun, di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengadang Baru, Jalan Gelugor.

“Menyedari kehadiran polis, suspek yang bekerja sebagai juruelektrik (swasta) telah membuang satu botol plastik di tepi jalan dan cuba melarikan diri.

“Dia berjaya ditangkap selepas berlaku pergelu-tan dan hasil pemeriksaan ke atas botol yang dicampakkan sebelum itu didapati mengandungi sejumlah 2,000 pil yang disyaki WY jenis pil kuda yang mengandungi methamphetamine dengan anggaran berjumlah RM70,000,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek itu seorang penagih dan pengedar dadah jenis pil kuda.

Suspek yang tidak memiliki rekod kesalahan lampau itu kini ditahan reman sehingga 26 Januari ini dan kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 39 B ADB 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Katanya, dalam serbuan pada 21 Januari pada jam 11 malam pula, polis menahan seorang kontraktor yang berumur 57 tahun di dalam sebuah kereta jenis Kia di tepi jalan Kampung Banggol Air Lilih.

Siasatan awal mendapati suspek seorang penagih tegar dan hasil ujian urin juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 A (2) ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.

Katanya, dalam ser-buan yang dilakukan sejam 45 minit selepas itu, polis juga berjaya menahan seorang lelaki yang berumur 27 tahun, setelah cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Kampung Cina, di sini.

“Hasil pemeriksaan pada badan suspek yang beralamat di Jalan Kenari, Seberang Takir itu berjaya menjumpai empat botol plastik yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis Heroin No. 4 dengan anggaran berat kasar adalah 14 gram yang bernilai RM6,000,” katanya.

Suspek yang bekerja sebagai pengusaha bengkel motosikal itu turut memiliki rekod lampau iaitu pernah ditahan dua kali atas kesalahan menagih dadah yang mana kedua-duanya di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Suspek yang ditahan reman sehingga 25 Januari ini akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (2) ADB 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan 10 kali.

Terbaru, dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Alor Jambu, Gong Badak di sini pada jam 3 pagi semalam pula, polis berjaya menahan enam lelaki berumur antara 28 tahun hingga 39 tahun disyaki pengedar dan penagih dadah.

Menurut Roslan, susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas empat botol yang disyaki mengandungi heroin seberat 14 gram yang dianggar bernilai RM6,000.

Dadah: Duda tak serik 34 tahun penjara

KUALA TERENGGANU 16 Jan (Utusan Malaysia) - Meskipun pernah merengkok dalam penjara selama 34 tahun enam bulan dan dikenakan 16 sebatan, seorang duda anak dua tidak serik mengulangi perbuatannya mengedar dadah.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, dekat sini petang Khamis lalu dan kali ini dia mungkin berdepan hukuman gantung sampai mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sembilan botol berisi dadah jenis heroin dalam poket seluar dan 10 botol lagi ditemui dalam kereta milik lelaki itu.

"Keseluruhan rampasan, polis menemui dadah 96.95 gram bernilai RM30,000 serta wang tunai berjumlah RM3,100," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Roslan memberitahu, suspek kini ditahan untuk siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, suspek yang berasal dari Kuala Besut, Besut itu baru sahaja dibebaskan dari Penjara Marang pada penghujung bulan Jun tahun lalu.

"Dia juga mula menagih dadah sejak tahun 1977 sehingga ditangkap pada tahun itu," katanya.

Beliau berkata, pada tahun 1982, suspek pernah dipenjara selama 20 tahun dan dikenakan enam sebatan mengikut Seksyen 39(B) akta yang sama.

"Pada tahun 1998 pula, suspek dipenjara selama 10 tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 39 (A)(2) dan seterusnya dihukum penjara empat tahun lagi pada tahun 2007 mengikut Seksyen 39(A)(1) akta yang sama.

"Suspek juga pernah dipenjara selama enam bulan pada tahun 1997 atas kesalahan khalwat," katanya.

Berdasarkan soal siasat polis, kata beliau, suspek secara aktif mendapat bekalan dari negara jiran dengan menjadikan Daerah Besut dan Hulu Terengganu sebagai kawasan tumpuan bagi pengedaran dadah.

Edar dadah dekat surau


KUALA TERENGGANU 7 Jan - (Harian Metro): Perwatakan alim seorang lelaki sering dilihat di sebuah surau di Kampung Losong Haji Awang, di sini, terbongkar apabila dia sebenarnya menjadikannya sebagai lokasi mengedar dadah disimpan dalam kereta di parkir di kawasan berdekatan.

Taktik licik lelaki berusia 36 tahun dari Bachok, Kelantan itu berakhir apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 malam Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melawan anggota polis hingga berlaku pergelutan.

“Sebaik ditahan, suspek membawa polis ke Proton Perdana diletak berhampiran surau kira-kira 50 meter dari rumahnya sebelum menemui 67 botol dadah jenis heroin seberat 311.6 gram bernilai RM100,500.

“Polis turut merampas wang tunai RM3,165 disyaki hasil kegiatan penjualan dadah. Suspek kini direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek dipercayai pengedar dan penagih yang aktif mengedar bahan terlarang itu sejak 10 tahun lalu dan mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta pernah dihukum mahkamah.

Katanya, suspek pernah dihukum dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 7(1), Seksyen 12(2) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 11(A)(1) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah lain berhampiran dan berlaku pergelutan sebelum pihak polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam premis berkenaan berusia antara 20 hingga 36 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati kelima-lima lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine dan opiate.

“Tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan masih lagi dalam pengawasan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas 800 pil kuda bernilai RM24,000 manakala semua suspek direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952.

“Polis percaya dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang dipercayai perancang utama, dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sekitar daerah ini,” katanya.

Polis Tahan Dua Pengedar Bekal Dadah Ke Tanah Rancangan


KUALA TERENGGANU, 4 Jan (Bernama) — Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua lelaki dipercayai pengedar yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai dalam satu serbuan di Kampung Pakoh Jaya, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Supt Roslan Abd Wahid serbuan ke kedai berkenaan dilakukan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN negeri setelah melakukan intipan hampir setahun.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada di dalam kedai itu telah cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan, namun hasil tindakan pantas kita berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kedai itu, polis berjaya menemui dadah berkualiti tinggi yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran iaitu heroin seberat 26 gram, syabu (7.5 gram), pil kuda (50 biji), dan kodein (400 ml) yang kesemuanya dianggar bernilai RM16,000.

Roslan berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan dipercayai telah hampir setahun menjalankan kegiatan itu dengan membekalkan dadah ke kekawasan Utara Kuala Terengganu dan tanah rancangan.

Antara kawasan yang dikenalpasti ialah Felda Belara, Kampung Tepoh di Kuala Terengganu selain Kampung Tayor, Sungai Tong dan Felda Chalok Barat di Setiu.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek yang berumur 35 dn 31 tahun yang berasal dari Felda Belara ini merupakan penagih dadah tegar jenis heroin dan pil kuda sejak 10 tahun yang lalu dan mereka membelanjakan RM100 sehari untuk membeli dadah kegunaan sendiri.

“Suspek berusia 35 tahun ini mempunyai empat rekod jenayah yang berkaitan dadah dan merupakan orang yang dikehendaki polis, manakala rakannya yang bertugas sebagai ‘runner’ juga mempunyai empat rekod jenayah iaitu tiga kes pecah rumah dan satu kes curi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 A (1) dan 12 (2) akta yang sama.

Katanya polis juga telah mengenalpasti tujuh hingga lapan orang anggota kumpulan sindiket ini dan usaha memburu mereka sedang giat dilakukan.

“Kita percaya dengan penahanan dua pengedar ini, polis telah dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah terutama ke kawasan tanah rancangan yang terlibat yang mana selepas ini kita akan jalankan operasi pembersihan untuk memutihkan kawasan itu daripada masalah dadah,” katanya.

No comments: