KUALA TERENGGANU – Menjelang jam 5 petang ini, para pengundi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan membuat pilihan samada ada memilih ’rasuah’ atau ’maruah’.
Sekiranya, calon BN Tan Sri Isa Samad menang, ia akan menjadi satu kes ikutan ’precedent’ dimana, kejelekan dan kebobrokan ’rasuah politik’ atau kes ’politik wang’ dalam Umno/BN tidak lagi dianggap kotor dan hina.
Isa pula akan bertukar, dari seorang tokoh Umno yang dianggap ’cemar’, menjadi seorang penyelamat maruah kerana memenangkan Umno yang sudah kalah dalam tujuh pilihanraya kecil sebelum ini.
Perlakuan ’rasuah politik’ yang menghukum Isa meletakkan jawatan sebagai seorang Menteri kerana membayar ahli Umno supaya melayakkannya kepada jawatan (Menteri) itu, akan seolah-olah menghalalkan apa yang kononnya menjadi ’haram’ dalam pemilihan Umno.
Keadaan ini adalah kerana, pemilihan Isa menjadi calon BN bagi bertanding dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, bukan lagi suatu ukuran ’maruah’ namun semuanya merupakan perlumbaan ’kuasa’ semata-mata.
Tidak ada lagi pemimpin yang benar-benar berwibawa dan memiliki pengaruh tulin dalam Umno sekiranya Isa menang dalam pilihanraya kecil kali ke 9 tahun ini itu.
Dan Umno tidak perlu menggilap kepimpinan muda dengan jati diri kepimpinan, cukup mendidik pemuda-pemuda Umno menjadi seorang koporat, mengumpulkan kewangan yang banyak, kerana ’wang’ dari koporat itu merupakan tiket untuk menjadi pemimpin.
Membeli undi dalam pemilihan Umno tidak lagi dianggap sebagai ’keparat’ namun ia akan menjadi satu ’standard’ penting, dan paradigma baru dalam Umno, kerana Tan Sri Isa telah meletakkan definisi baru dan garis nilai sebagaimana yang diucapkannya kepada media.
Tan Sri isa berkata; ’Saya bukan rasuah, Ini ialah politik wang’. Apa yang berlaku sebenarnya adalah, saya melanggar kod etika. Kami mempunyai kod etika dalam pemilihan parti. Kemudian, media memutar-belitkannya kepada politik wang dan rasuah," kata Isa Samad kepada wartawan MerdekaReview dalam satu wawancara pada malam Isnin yang lalu.
Bahkan sekiranya Isa diisytiharkan menang menjelang keputusan pada jam 8 malam nanti, keputusan tersebut merupakan satu titik tolak kepada Umno/BN yang lebih ’hodoh’ pada masa akan datang.
Pemimpin tertinggi Umno dan BN juga terpaksa menerima Isa demi menebus ’maruah Umno dan Barisan Nasional’ dari terus tercemar kerana kekalahan berturut-turut kepada Pakatan rakyat.
Umno/BN tidak boleh kalah lagi, dan tidak lagi sanggup berdepan dengan kekalahan.
Namun tindakan membenarkan Isa bertanding sebenarnya melorongkan Umno/BN kepada lorong ’belakang mati’ yang lebih hina !
No comments:
Post a Comment