Sunday, October 26, 2008

Ahmad Ketua Kerajaan Yang Amat Memalukan !

Kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkaitan pengurusan Kelab Teluk Warisan (Heritage Bay Club) amatlah memalukan sebagai seorang Ketua Kerajaan Negeri. (Gambar - tiga sekawan, Wan Hisham (kiri), Idris (tengah) dan Patrick Lim (kanan) pemain utama dalam 'Monsoon Cup dan Kelab Teluk Warisan')

Ahmad dalam kenyataannya kepada pihak media pada 21 Oktober lalu berkata, asal Kelab Teluk Warisan adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri tetapi kontraktor yang membinanya tidak menyerahkan setelah resort itu siap dibina.

“Dulu, kerajaan negeri suruh kontraktor terbabit bina satu bangunan tetapi selepas bangunan itu siap, mereka tidak menyerahkan bangunan tersebut kepada kerajaan negeri.

“Bila dia (kontraktor) tidak serah, dia buat resort dan dinamakan Kelab Teluk Warisan yang beroperasi tanpa pengetahuan rasmi kerajaan negeri.

“Sepatutnya selepas siap bina, dia (kontraktor) serahkan kepada kita kerana dia menggunakan dana khas. Tapi kesempatan tersebut diambil oleh dia dan diuruskan. Jadi apabila kecoh, baru dia serahkan. Kalau tak kecoh tak dapat senyap macam itulah agaknya,” katanya.

Beberapa dokumen rasmi yang pernah diterbitkan membuktikan bahawa kenyataan Ahmad adalah tidak berasas dan mungkin direka-reka.

Laporan Tahunan TDM Berhad 2007 yang diterbitkan pada 6hb Jun, 2008 mengesahkan bahawa Kelab Teluk Warisan (HBC) bukan dibawah pengurusan kontraktor.

Dalam mukasurat 22 Laporan Tahunan tersebut telah menyebut penglibatan Dato’ Wan Hisham dengan Kelab Teluk Warisan seperti berikut;

Y. Bhg. Dato’ Haji Wan Hisham bin Dato’ Wan Salleh, warganegara Malaysia, berusia 52 tahun adalah merupakan Pengerusi TDM Berhad. Beliau mengikuti pengajian di University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dimana beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi.


Y. Bhg. Dato’ Haji Wan Hisham telah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah pada 15 April 2004 dan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi bermula dari tarikh tersebut. Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Imbuhan.


Beliau mempunyai pengalaman selama 25 tahun di dalam industri pembinaan serta pembangunan hartanah dan merupakan Pengerusi GPQ Sdn. Bhd dan Pengarah Udabina Sdn. Bhd. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi untuk Kerajaan Negeri Terengganu.


Beliau dilantik sebagai Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd dan Kelab Teluk Warisan Terengganu Sdn Bhd masing-masing pada 27 Julai 2005 dan 28 Ogos 2005. T-Best Events Sdn Bhd adalah pengurus acara kejohanan Piala Monsun dimana acara tersebut merupakan sebahagian Kejohanan Perlumbaan Kapal Layar bertaraf Dunia

TDM adalah sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang tersenarai di bursa saham Kuala Lumpur.

Adalah tidak masuk akal sekiranya terdapat penipuan maklumat dalam Laporan Tahunan TDM kerana ia tertakluk kepada amalan tadbir urus korporat dibawah akta syarikat 1965.

TDM melanggar kod etika pengarah syarikat sebagamana yang di jelaskan oleh Suruhanjaya syarikat sekiranya membekalkan maklumat yang tidak benar tentang Wan Hisham sebagaimana yang terdapat dalam Laporan Tahunan TDM 2007.

Justeru, sekiranya Laporan tersebut adalah benar, pasti apa yang Ahmad nyatakan adalah tidak benar !

No comments: