Wednesday, March 19, 2008

Hak lantik MB Terengganu terletak pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja

KUALA LUMPUR 18 Mac – Jabatan Peguam Negara hari ini menjelaskan bahawa urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja negeri itu.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sedar tentang peruntukan tersebut yang baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar di negeri berkenaan.

Ujarnya, berdasarkan kepada Perkara 34 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka tidak boleh menjalankan fungsi sebagai Raja Negeri Terengganu melainkan sebagai Ketua Agama Islam.

``Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon sendiri bagi mengisi jawatan Menteri Besar. Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja.

``Justeru, Baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut,’’ kata Abdul Gani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini malam ini.

Terengganu merupakan satu-satu negeri yang masih belum mempunyai Menteri Besar dan sehingga hari ini tiada petunjuk majlis angkat sumpah Menteri Besar Terengganu akan diadakan.

Dalam pada itu Abdul Gani berkata, dalam usaha memilih Menteri Besar, Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Raja terikat dengan Perkara 14 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

``Calon yang layak dilantik sebagai Menteri Besar berdasarkan peruntukan itu hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) yang pada fikiran Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja mendapat kepercayaan kebanyakan ahli Dewan tersebut.

``Oleh itu mana-mana orang yang dilantik sebagai Menteri Besar bukanlah calon Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja atau sesiapa jua tetapi seseorang yang dilantik menurut Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu,’’ katanya.

Beliau menegaskan, proses pelantikan Menteri Besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh undang-undang sebagaimana termaktub di dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

``Dalam hal ini (pelantikan Menteri Besar) tidak berbangkit isu perebutan antara Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Raja pada satu pihak dengan kerajaan negeri pada satu pihak yang lain,’’ kata Abdul Gani lagi. - Utusan



No comments: