Wednesday, July 18, 2007

KEGAGALAN TAHUN PERTANIAN NEGERI TERENGGANU 2006 - Projek Fertigasi Mega


Sebelum meneruskan tulisan ini, terimakasih kepada Khairul & Edrina yang melawat Blog ‘Apa Khabar Ganu Kite’ dan prihatin memberikan komen tentang Projek Sutratani. Harap-harap dapat terus membaca dan memberi komen pulak tentang tulisan kali ini.

Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu (RPNT) 2004 – 2008, mengandungi dua belas teras hala cara pembangunan Negeri Terengganu yang dinyatakan sebagai paksi penentuan priority, didalam perlaksanaan program pembangunan, sepanjang tempoh 5 tahun. Antaranya adalah menjadikan Tahun 2006 sebagai Tahun Pertanian Negeri Terengganu (TPNT).

Dibawah tajuk Membasmi Kemiskinan, khususnya di Kalangan Petani dan Nelayan, Kerajaan BN Terengganu mensasarkan seramai 10,000 orang petani, penternak dan nelayan, akan ditingkatkan pendapatan mereka sebanyak RM 500.00 setiap orang dalam sebulan, melalui fokus program/projek potfolio Pertanian dan Industri Asas Tani melalui TPNT 2006.

Tahun 2006 telah di war-warkan sebagai TPNT, yang membawa maksud bahawa Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perlaksanaan program/ projek bagi sektor Pertanian dan Industri Asas Tani. Objektif Tahun Pertanian Negeri Terengganu adalah meningkatkan pendapatan bagi 10,000 orang sasaran yang terdiri dari petani, penternak dan nelayan. Pendapatan bulanan mereka disasarkan dapat ditambah RM 500.00 setiap orang dalam sebulan.

Walaupun penetapan agenda TPNT ini telah di buat semasa merangka RPNT 2004 - 2008, namun didapati tiada ‘Blue Print’ perlaksanaan projek/ program yang dibuat, bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Oleh yang demikian, tiada program fokus yang khusus, sepanjang TPNT. Kebanyakkan projek dilaksanakan secara ad-hoc sahaja.

Projek Fertigasi Mega adalah contoh program bersifat ad-hoc yang dimulakan pada sekitar April/ Mei, 2006 dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM 20 juta, yang diluluskan untuk perlaksanaan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC). Tumpuan tanaman adalah bagi penghasilan ‘Rock Melon’.

TADC adalah anak syarikat PERMINT yang ditubuhkan untuk tujuan pemasaran hasil pertanian, bukan untuk pengeluaran. Perlaksanaan projek kemudiannya telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri pada bulan Oktober, 2006 kerana TADC tidak mempunyai sumber manusia dan kepakaran.

Projek bernilai RM 16 juta diperuntukkan kepada daerah-daerah untuk di agihkan dalam bentuk pinjaman kepada peserta yang dipilih oleh ADUN kawasan berkenaan. Seramai 275 peserta telah dipilih di seluruh negeri. Setiap peserta diberi pinjaman dalam bentuk barangan dan input bernilai RM 50,000.00 dan akan membayar balik 50% dari pinjaman dalam tempoh 10 tahun. Setiap peserta akan menanam sebanyak 2000 pokok., secara fertigasi. Baki peruntukan sebanyak RM 4 juta dikekalkan kepada TADC yang melaksanakan projek tersebut secara bersendirian. Projek TADC dipanggil sebagai Sutratani.

Kontraktor yang dilantik bagi perlaksanaan setiap projek dipilih oleh ADUN dan indent yang dikeluarkan adalah dengan nilai RM 49,950.00, secara pesanan belian (inden) untuk mengelakkan projek di tender. Jumlah ini adalah kurang RM 50.00 dari jumlah dinyatakan diberi kepada peserta. Pihak Jabatan Pertanian tidak dirunding didalam pemilihan peserta dan begitu juga didalam pemilihan kontraktor. Apa yang peliknya, semua kontraktor telah dibayar jumlah sepenuhnya kos projek pada akhir tahun 2006, walaupun kerja-kerja belum disiapkan atau dilaksanakan. Perkara ini menyalahi peraturan dan satu laporan telah dibuat kepada BPR berkaitan perkara tersebut.

Tindakan pihak kewangan Negeri membayar sepenuhnya kepada kontraktor walaupun kerja belum dilaksanakan, dikatakan bagi mengelakkan peruntukan projek dikembalikan kepada kerajaan pusat (peruntukan tidak dibelanjakan). Perkara ini berlaku kerana kelewatan perlaksanaan projek yang pada mulanya diserahkan kepada TADC, tetapi diserahkan lewat kepada Jabatan Pertanian, setelah TADC tidak mampu untuk melaksanakannya.

Projek ini adalah suatu projek propaganda bertujuan meningkatkan imej kerajaan kerana perlaksanaan projek ini secara tergesa-gesa tanpa perancangan terperinci. Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan penggunaan teknologi. Penyerahan perlaksanaan projek kepada TADC pada peringkat awal, adalah satu kesilapan kerana TADC adalah sebuah entiti yang baru ditubuhkan yang tidak mempunyai kepakaran dan sumber manusia yang mencukupi. Fungsi TADC hanyalah sebagai pemasar bukan pengeluar, ini menunjukkan TADC adalah organisasi ‘politik’ yang digunakan oleh Kerajaan BN Terengganu

Jabatan Pertanian masih menjalankan kajian terhadap kaedah penanaman fertigasi. Para pegawai belum didedahkan sepenuhnya kepada kaedah ini dan hampir semua pegawai dan kakitangan Jabatan, disemua pusat-pusat yang telah dilaksanakan projek Fertigasi tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup. Pemilihan para peserta dan kontraktor tanpa dirunding dengan pihak Jabatan memberi ruang kepada pengagihan projek kepada para peserta dan kontraktor yang tidak berkelayakkan, yang menjadi kroni kepada ADUN setempat. Mengikut pendapat MARDI setiap peserta hanya mampu dengan guna tenaga keluarga hanya mampu melaksanakan tanaman fertigasi sebanyak 500 pokok sahaja, sebaliknya setiap peserta diberi 2000 pokok.

Saya telah membuat lawatan ke tapak-tapak perlaksanaan projek fertigasi seluruh negeri termasuk tapak terbesar di kawasan Telaga Papan, Setiu. Pemerhatian dan kajian saya telah mengesan beberapa permasalahan. Antaranya selepas sebulan ditanam, pohon masih belum berbuah dan kaedah-kaedah yang digunakan tidak selaras.

Kini ‘Projek Mega Fertigasi’ sedang gamat diperkatakan oleh para petani bawahan kerana mengalami kegagalan dan merupakan kerugian kepada kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu.

1 comment:

Chandra Ramprakash said...

we have cococ peat stock.
we sell it for RM6 only for 5kg block.
We are located at kuala lumpur
mail us at
marketing@seribubio.com for quotes.
Thank you