Friday, May 11, 2012

Akhirnya Mat Zan Terpaksa Melangkah Pergi!

Selepas berhari-hari spekulasi tentang penamatan khidmat ketua jurulatih pasukan bolasepak Terengganu, akhirnya Mat Zan Mat Aris memutuskan untuk berhenti di tengah-tengah beban tekanan berikutan kemerosotan prestasi skuad bolasepak itu.

Masalah pasukan bolasepak Terengganu sebenarnya tidak selesai dengan pengunduran Mat Zan kerana ia melibatkan kegagalan pengurusan kesuluruhan.
Rata-rata peminat bolasepak Terengganu mahukan satu 'team' pengurusan yang lebih mantap.

Samada dilihat sebagai pengunduran atau pemberhentian Mat Zan, ia adalah sebenarnya permulaan satu episod baru yang bertumpu kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato' Che Mat Jusoh.

Mat Zan menjadi 'kambing hitam' kerana menjadi mangsa Persatuan Bolasepak Negeri yang tidak berjaya melonjakkan permainan akibat kegagalan pengurusan.

Che Mat Jusoh yang mengesahkan bahawa Mat Zan mengemukakan peletakan jawatannya semalam sebenarnya telah beberapa kali 'ditunjuk jalan keluar' oleh peminat skuad penyu.

Sehingga minggu lalu, telah dua kali para peminat membantah Datuk Che Mat Jusoh dan meminta beliau meletakkan jawatan.

Bijaknya 'orang politik' mengatur langkah kerana kini beban kesalahan diletakkan ke atas Mat Zan!

Sebelum ini, Mat Zan telah diminta untuk 'rehat' selama dua minggu selepas Penyu kalah 2-1 kepada Sime Darby FC di Piala FA separuh akhir.

Kegagalan untuk mempertahankan Piala FA tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya diatas bahu Mat Zan.

Namun itulah nasib seorang jurulatih apabila sesebuah pasukan itu kalah dalam perlawanan.

Kerajaan negeri perlu melihat lebih mendalam dan membedah siasat punca sebenar kemerosotan demi kemerosotan yang dialami oleh pasukan.

Pihak yang terbabit secara langsung perlu berterus terang, sekiranya mahu melihat pasukan negeri lebih maju pada masa depan.

Disamping itu pandangan peminat yang menjadi kekuatan moral pasukan perlu diambil kira.

Tidak ada erti sekiranya ada pasukan yang mantap tetapi tidak mendapat tempat dihati peminat yang menjadi sumber kewangan setiap perlawanan hasil dari penjualan tiket.

Namun bersediakan pihak negeri melakukan muhasabah dan mengambil tindakan.

Bersediakah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said membuat perubahan?

Tentu tidak, kerana Ahmad telah pun membuat keputusan mengekalkan Che Mat Jusoh yang juga rakan akrab politiknya!

Inilah permasalahannya kalau sukan turut dibabitkan dengan persoalan politik!