Monday, January 30, 2012

Demo.....demo...jangan tak berdemo!

Awal minggu lalu, Anne Ooi, perempuan tua berbangsa Cina yang terkenal dengan panggilan ‘Untie BERSIH’ mengajak seluruh rakyat bangkit dan keluar berdemo. Beliau berkata semakin ramai orang-orang perempuan yang keluar berdemonstrasi bagi menuntut hak masing-masing.

Katanya, orang-orang perempuan muda sudah ramai, tetapi orang-orang tua, 60-an dan 70-an tidak ramai yang keluar. Oleh itu beliau menyeru, semua perempuan tua sebaya dengannya keluar berdemo sekiranya BERSIH 3.0 di panggil nanti.

[Gambar kanan - ribuan rakyat Mesir berdemo pada 25 Januari lalu meraikan setahun kemenangan 'demo' mereka menjatuhkan Hosni Mubarak]



Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memutuskan untuk mengambil tindakan dan memberi kata dua kepada kerajaan.

Tarik balik Akta Kerja (Pindaan) 2011, yang diluluskan Parlimen akhir tahun lalu, atau hadapi demo (piket) pada minggu ketiga setiap bulan.

Majlis Am badan induk pekerja yang mengadakan mesyuarat majlis selama enam jam di sini, 17 Januari lalu menetapkan pendirian mereka.

Lebih keras, mereka memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang perundingan dan perbincangan dengan kerajaan.

"Pendirian yang diputuskan oleh majlis am hari ini ialah kita mahu Akta Kerja ini ditarik, apa sahaja pindaan dalam akta ini mesti ditarik.

"Majlis am mengambil pendirian tegas tidak perlu mengadakan perbincangan lagi dengan Kementerian Sumber Manusia, termasuk berkenaan soal peraturan - peraturan pelaksanaan Akta Kerja ini.

"Kami akan mengadakan piket sehingga pilihan raya umum, sehingga Akta Kerja ini ditarik balik," kata Presiden MTUC, Khalid Atan ketika ditemui media di akhir mesyuarat majlis am tersebut.

Pada Ahad (semalam) 29 Januari, gerakan ‘Occupy’ di Amerika (gambar kanan) telah bertempur dengan pihak polis Oakland ketika mereka berdemo di sana.

Ketua Polis Howard Jordan berkata 400 orang telah ditahan.

Dalam kenyataan balasnya, gerakan ‘occupy Oakland mengkritik tidakan pihak polis yang gagal ‘membenarkan’ para demonstran untuk bersurai.

Gerakan ‘occupy’  adalah pergerakan antarabangsa yang membantah terhadap ketidaksamaan ekonomi dan sosial.  Gerakan tersebut buat kali pertamanya telah berdemo dan menakluk Wall Street di Taman Bandar New York Zuccotti, pada 17 September, 2011.

Sejak 9 Oktober, mereka telah berdemo menunjukkan bantahan pada 95 bandar raya di 82 negara, dan lebih 600 komuniti di Amerika Syarikat.

Di Timur Tengah, warga Tunisia dan Mesir, telah memetik hasil demokrasi menumbangkan pemerintah yang zalim,  dari kerja ‘demonstrasi jalanan’ mereka.

Kebangkitan rakyat Tunisia (revolusi Jasmin atau Melor) dimulakan oleh Muhammad Bouazizi yang merupakan seorang graduan lepasan sebuah universiti tempatan.

Beliau pada ketika itu hanya berusia 26 Tahun, namun disebabkan kegagalan pemerintah menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, pekerjaan amat sukar diperolehi walaupun bagi seorang graduan.

Ilham dari kebangkitan rakyat Tunisia telah menyebabkan rakyat Mesir bangkit ‘berdemo’ di Dataran Tahrir.

Rakyat Mesir pada 25 Januari lalu, telah meraikan ulang tahun pertama kebangkitan menumbangkan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

Ekoran kejatuhan Hosni, Mesir telah mengadakan pilihanraya bebas dan sayap politik gerakan ikwanul Muslimin, parti keadilan dan kebebasan menang 75% kerusi parlimen.

Hari ini 30 Januari, sebagaimana dilaporkan media, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan demo (bantahan) jika permintaan tidak dipedulikan.

Mereka memohon agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Feb ini ditangguhkan.

"Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Awal bulan depan, Mac 2012, penduduk Dungun khususnya sekitar bandar Paka di beritahu akan keluar berdemo bagi menunjukkan bantahan terhadap JKKK yang merampas tanah sebuah sekolah rendah Islam.

Mangsa kezaliman kerajaan Umno/BN terbaru di negeri ini itu ialah tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong.

Seluas dua ekar tanah SRIDB  yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 22 Oktober 2003, ‘dirampas’ dan diagihkan kepada pihak JKKK Limbong.

[Gambar kiri - Peneroka Felda Tenang di Hulu Besut turun berdemo lepas Jumaat pada 13 Januari lalu membantah tindakan Felda mahu menggadai tanah mereka]


Antara nama-nama JKKK tersebut termasuk,  Pengerusi Umno dan JKKK Kampung Limbong, Ibrahim Abdullah, Rosli Hashim (AJK Umno Kampung Cacar), Mohamad Idris (JKKK), Abd Ghani Muda (AJK Umno dan JKKK Kampung Limbong) serta Suhaini Abd Karim iaitu AJK Wanita Umno dan isteri JKKK Limbong.

SRIDB yang ditubuhkan pada tahun 2001 berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Selama 11 tahun, SRIDB telah dibangunkan melalui titik peluh dan sumbangan derma serta sadaqah jariah orang ramai.

No comments: