Monday, January 30, 2012

Demo.....demo...jangan tak berdemo!

Awal minggu lalu, Anne Ooi, perempuan tua berbangsa Cina yang terkenal dengan panggilan ‘Untie BERSIH’ mengajak seluruh rakyat bangkit dan keluar berdemo. Beliau berkata semakin ramai orang-orang perempuan yang keluar berdemonstrasi bagi menuntut hak masing-masing.

Katanya, orang-orang perempuan muda sudah ramai, tetapi orang-orang tua, 60-an dan 70-an tidak ramai yang keluar. Oleh itu beliau menyeru, semua perempuan tua sebaya dengannya keluar berdemo sekiranya BERSIH 3.0 di panggil nanti.

[Gambar kanan - ribuan rakyat Mesir berdemo pada 25 Januari lalu meraikan setahun kemenangan 'demo' mereka menjatuhkan Hosni Mubarak]



Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memutuskan untuk mengambil tindakan dan memberi kata dua kepada kerajaan.

Tarik balik Akta Kerja (Pindaan) 2011, yang diluluskan Parlimen akhir tahun lalu, atau hadapi demo (piket) pada minggu ketiga setiap bulan.

Majlis Am badan induk pekerja yang mengadakan mesyuarat majlis selama enam jam di sini, 17 Januari lalu menetapkan pendirian mereka.

Lebih keras, mereka memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang perundingan dan perbincangan dengan kerajaan.

"Pendirian yang diputuskan oleh majlis am hari ini ialah kita mahu Akta Kerja ini ditarik, apa sahaja pindaan dalam akta ini mesti ditarik.

"Majlis am mengambil pendirian tegas tidak perlu mengadakan perbincangan lagi dengan Kementerian Sumber Manusia, termasuk berkenaan soal peraturan - peraturan pelaksanaan Akta Kerja ini.

"Kami akan mengadakan piket sehingga pilihan raya umum, sehingga Akta Kerja ini ditarik balik," kata Presiden MTUC, Khalid Atan ketika ditemui media di akhir mesyuarat majlis am tersebut.

Pada Ahad (semalam) 29 Januari, gerakan ‘Occupy’ di Amerika (gambar kanan) telah bertempur dengan pihak polis Oakland ketika mereka berdemo di sana.

Ketua Polis Howard Jordan berkata 400 orang telah ditahan.

Dalam kenyataan balasnya, gerakan ‘occupy Oakland mengkritik tidakan pihak polis yang gagal ‘membenarkan’ para demonstran untuk bersurai.

Gerakan ‘occupy’  adalah pergerakan antarabangsa yang membantah terhadap ketidaksamaan ekonomi dan sosial.  Gerakan tersebut buat kali pertamanya telah berdemo dan menakluk Wall Street di Taman Bandar New York Zuccotti, pada 17 September, 2011.

Sejak 9 Oktober, mereka telah berdemo menunjukkan bantahan pada 95 bandar raya di 82 negara, dan lebih 600 komuniti di Amerika Syarikat.

Di Timur Tengah, warga Tunisia dan Mesir, telah memetik hasil demokrasi menumbangkan pemerintah yang zalim,  dari kerja ‘demonstrasi jalanan’ mereka.

Kebangkitan rakyat Tunisia (revolusi Jasmin atau Melor) dimulakan oleh Muhammad Bouazizi yang merupakan seorang graduan lepasan sebuah universiti tempatan.

Beliau pada ketika itu hanya berusia 26 Tahun, namun disebabkan kegagalan pemerintah menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, pekerjaan amat sukar diperolehi walaupun bagi seorang graduan.

Ilham dari kebangkitan rakyat Tunisia telah menyebabkan rakyat Mesir bangkit ‘berdemo’ di Dataran Tahrir.

Rakyat Mesir pada 25 Januari lalu, telah meraikan ulang tahun pertama kebangkitan menumbangkan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

Ekoran kejatuhan Hosni, Mesir telah mengadakan pilihanraya bebas dan sayap politik gerakan ikwanul Muslimin, parti keadilan dan kebebasan menang 75% kerusi parlimen.

Hari ini 30 Januari, sebagaimana dilaporkan media, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan demo (bantahan) jika permintaan tidak dipedulikan.

Mereka memohon agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Feb ini ditangguhkan.

"Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Awal bulan depan, Mac 2012, penduduk Dungun khususnya sekitar bandar Paka di beritahu akan keluar berdemo bagi menunjukkan bantahan terhadap JKKK yang merampas tanah sebuah sekolah rendah Islam.

Mangsa kezaliman kerajaan Umno/BN terbaru di negeri ini itu ialah tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong.

Seluas dua ekar tanah SRIDB  yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 22 Oktober 2003, ‘dirampas’ dan diagihkan kepada pihak JKKK Limbong.

[Gambar kiri - Peneroka Felda Tenang di Hulu Besut turun berdemo lepas Jumaat pada 13 Januari lalu membantah tindakan Felda mahu menggadai tanah mereka]


Antara nama-nama JKKK tersebut termasuk,  Pengerusi Umno dan JKKK Kampung Limbong, Ibrahim Abdullah, Rosli Hashim (AJK Umno Kampung Cacar), Mohamad Idris (JKKK), Abd Ghani Muda (AJK Umno dan JKKK Kampung Limbong) serta Suhaini Abd Karim iaitu AJK Wanita Umno dan isteri JKKK Limbong.

SRIDB yang ditubuhkan pada tahun 2001 berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Selama 11 tahun, SRIDB telah dibangunkan melalui titik peluh dan sumbangan derma serta sadaqah jariah orang ramai.

Tuesday, January 24, 2012

Bekas Pemimpin Umno mendakwa pemimpin Melayu menipu bangsanya sendiri


- Adakah ahli Umno di kampung-kampung percaya??
Kemiskinan orang Melayu bukanlah berpunca dari tindakan kaum lain yang tamak dan mengambil kesempatan dari ekonomi Negara.

Bekas wakil rakyat Umno, Dato’ Mohd Ariff Sabri Aziz bahkan mengatakan, perjuangan untuk membebaskan orang Melayu dari kemiskinan tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Dan usaha mencapai saham bumiputera 30% daripada kekayaan negara sebenarnya tidak pernah berkembang.

Beliau mengatakan demikian dalam tulisan terbarunya yang disiarkan sebuah laman berita internet.

Bekas ADUN Pulau Manis, Pahang itu menegaskan punca-punca kemunduran orang Melayu adalah disebabkan oleh tingkah laku pemimpin Melayu itu sendiri.

Katanya, Kepimpinan Melayu di semua peringkat tidak bertindak demi kepentingan orang Melayu sebenarnya.
Namun, katanya, 30 orang pemimpin elit orang Melayu bertambah baik kehidupannya.

Oleh itu, beliau berkata walaupun pemimpin Umno berjuang kononnya mempertahankan 30% pemilikan orang Melayu, sebenarnya mengeksploitasikan hak-hak tersebut untuk diri sendiri.

Pemimpin Elit Umno itulah yang sebenarnya yang menjadi perasuah dan pengampu yang berselindung disebalik ketuanan Melayu.

Dato’ Mohd Ariff Sabri Aziz bukanlah calang-calang orang dalam Umno.

Beliau adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketuanya.

Jawatan Ketua Penerangan ini bukan ditentukan secara pemilihan, sebaliknya melalui cara lantikan oleh Ketua Bahagian.

Dato’ Mohd Ariff Sabri ialah orang kepercayaan Najib sehingga dipilih sendiri olehnya untuk menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan.

Dengan jawatan-jawatan yang pernah disandang olehnya, dan hubungan baiknya dengan Najib, adakah ia memberi kesan kepada orang-orang Melayu yang masih menyokong Umno.

Baru-baru ini juga, bekas Menteri Umno, Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir A.Kadir Sheikh Fazir mendakwa Umno gunakan wang  pada kempen pilihan raya lalu untuk membeli undi.

Beliau berkata demikian dalam satu forum dengan menjelaskan mengalami pengalamannya sendiri  memberi RM200 hingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi.

“Saya telah menjadi ketua dalam banyak kempen dan saya diberikan wang dalam jumlah yang banyak untuk diagihkan,

“Ia secara terang-terangan untuk membeli undi,” katanya.

Abdul Kadir masih memegang jawatan dalam Umno, berkata, beliau mahu mengingatkan rakyat tentang 'Amanah Merdeka' yang bermaksud memberi rakyat hak untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil.

Beliau turut menggesa Umno agar tidak perlu takut untuk kalah sekiranya ikhlas dalam perjuangan.

“Jika anda kalah, terimanya; rakyat ubah kerajaan banyak kali di USA dan Australia, Saya adalah ahli Umno, saya tiada masalah jika kalah, Jika anda ikhlas, tiada apa yang perlu ditakutkan,” tambahnya.

Beliau berkata untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil, perlu ada akses sama rata terhadap media, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan kerajaan mesti neutral.

“Anda perlu berikan mereka (pembangkang) kebebasan untuk mempunyai TV, radio dan akhbar, selama 50 tahun PAS telah meminta lesen akhbar tetapi tidak diberikan kerana kerajaan pembuli besar,”tegasnya.

Abdul Kadir manambah,  semasa pilihan raya, BN tidak sepatutnya menggunakan Kementerian Penerangan, Felda, Felcra dan Unit Cawangan Khas (SB) serta agensi lain untuk membantu kempen mereka.

Kedua-dua mereka yang menyuarakan kebenaran adalah mereka yang pernah memimpin jutaan ahli-ahli Umno.
Walaupun pendedahan seperti ini telah banyak dibuat oleh bekas-bekas pemimpin Umno, namun adakah orag-orang Melayu dikampung-kampung tahu?

Adakah oang-orang Melayu yang pernah mereka pimpin itu percaya?

Tuesday, January 3, 2012

100 Tahun Memertabatkan Islam di Negeri Terengganu

‘Hairan bin Ajaib’ apabila  pemimpin Umno, khususnya pemimpin Umno negeri Terengganu tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam.

Samada pemimpin-pemimpin Umno jahil atau sengaja mahu menolak undang-undang Islam, kerana sesungguhnya undang-undang Islam telah wujud dan dilaksanakan di negeri Terengganu sejak tahun 1303 Masehi/ 702 Hijrah.

Dan sedarlah kita semua bahawa, apa pun diberikan nama undang-undang itu, samada undang-undang Batu Bersurat atau Undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil as-Suluk, atau Enamen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas, semuanya adalah berdasarkan undang-undang islam yang mesti kita, sebagai orang-orang Islam menerima dan melaksanakannya.

[Gambar - Sultan Zainal Abidin III yang telah memerintah dengan Undang-undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta'Dil as-Suluk]

Tuduhan Hudud PAS bukan Hudud Islam, yang digunakan oleh Umno serta konco-konconya tidak benar samasekali, kerana sejarah telah membuktikan, hukuman Hudud yang serupa pernah tercatat diatas Batu Bersurat dan pada Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil as-Suluk.

Negeri Terengganu Paling Awal Laksanakan Undang-undang Islam

Negeri Terengganu ialah diantara negeri yang terawal menerima dan melaksanakannya undang-undang Islam berdasarkan Batu bersurat telah dijumpai pada tahun di Hulu Terengganu.

Batu Bersurat ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

Tarikh tepat bagi penulisan batu bersurat ini tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Namun, teks pada batu bersurat ini ada menyatakan mengenai tarikh ia ditulis, iaitu "Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua"

Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tarikh bagi batu bersurat ini ialah Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303

Undang-undang Islam Batu Bersurat


Ianya sebagai satu bukti undang-undang Islam telah dilaksanakan di Terengganu.
Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran

Pada batu bersurat tersebut jelas menyatakan antaranya hukuman zina, seratus rotan bagi bujang dan rejam bagi yang dah berkahwin (22 Februari 1303)

Batu tersebut menggariskan beberapa hukum-hukum syariat yang diguna pakai. Tiga butiran undang-undang telah hilang bersama bahagian Batu yang tidak dapat dikesan. Peraturan yang keempat ialah berkaitan hutang-piutang. Peraturan kelima dan keenam tidak dapat dipastikan kerana sebahagian hurufnya telah hilang.  Cuma ia dapat dipastikan masih berkaitan muamalat.
Peraturan yang jelas terpelihara dan dapat dibaca dengan baik ialah berkaitan zina, seperti berikut[16]:

“Orang berbuat bala cara laki laki perempuan setitah Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu Seratus ratun jika merdeka beristeri Atawa perempuan bersuami ditanam hingga ka Pinggang di hambalang dengan batu dimatikan.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama tarikh yang terpahat pada batu bersurat tersebut iaitu 1303M. Tarikh ini adalah mendahului pengislaman Sultan Melaka iaitu sekitar 1404M selama seratus tahun. Ini bermakna dalam konteks sejarah tanah Melayu, sistem pemerintahan Islam telah lama berdiri di Kuala Berang jauh sebelum berdirinya sebuah kerajaan beragama Islam di Melaka. Tarikh ini sebenarnya tidak begitu menonjol kerana pada waktu yang sama berdiri sebuah Kerajaan beragama Islam di Samudera Pasai dengan Islamnya raja Meurah Silu

Ia juga membuktikan undang-undang Islam telah diistiharkan sebagai Undang-undang negeri.

Perentah raja dan rakyat supaya berpegang dengan ajaran Islam dinyatakan dengan jelas seperti terjemahan Batu Bersurat yang diusahakan oleh Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (MISBAHA)[17].

”Rasulullah berserta dengan sahabat-sahabat atau Rasulullah dengan ruh-ruh yang suci.
Percaya keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan yang Maha suci lagi Maha Tinggi menyuruh sekelian rakyat berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Agama Islam.
Berserta dengan penuh hormat pada undang-undang, memerintah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.
Di negeri ini, mereka yang menerangkan ajaran-ajaran Rasulullah salla Llahu alaihi wa sallam di muka bumi ini ialah sekelian raja Mandalika.
Penerangan atau pemasyuran itu adalah kewajipan yang mesti dijalankan oleh raja Mandalika yang berugama Islam.
Mengikut perintah Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dengan mengambil pandangan atau penentuan yang sebenar.
Di atas pengajaran-pengajaran itu di negeri ini bagaimana yang dibentang atau diterangkan di dalam pemasyhuran itu dan bila Seri Paduka.
Mula memerintah supaya membuat tulisan ini di Negeri Terengganu maka masa itu ialah pada Hari Jumaat yang pertama di dalam bulan Rejab tahun saratan di zaman Rasulullah telah berlalu tujuh ratus dua tahun”


Undang-undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk


Sebagai seorang sultan yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang luas dan diakui kealimannya, Sultan Zainal Abidin jelas mempraktikkan amalan syura untuk membuat sebarang keputusan berkait dengan pemerintahan negeri.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip syura yang dituntut oleh Islam, bukannya kerana terpaksa tunduk dengan penasihatpenasihatnya seperti yang didakwa oleh pegawai-pegawai British yang tidak memahami prinsip asas pemerintahan Islam.

Peruntukan bahawa amalan syura yang dilaksanakan dalam pemerintahan negeri seperti yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu membuktikan bahawa Sultan Zainal Abidin III mengutamakan amalan syura dalam pemerintahan baginda.(Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1973:5)

Semasa Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu terserlah. Undang-undang Islam dijadikan sebagai undang-undang negeri dimana Baginda telah menyusun pentadbiran mahkamah, menggubal Undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Negeri.

Undang-undang mahkamah telah digubal dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri semasa negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini digubal mengikut al-Qawa 'ed al-Syar'iah atau al-Qawa'ed al-Fiqhiyyah, mengandungi tiga belas (13) bab, meliputi tugas-tugas pegawai-pegawai dan kakitangan mahkamah, hukuman dan perbelanjaan mahkamah.

Pada keseluruhannya undang-undang mahkamah ini mengikut sistem kehakiman Islam. Bolehlah dikatakan pada masa itu bahawa undang-undang ini ternyata begitu kemas dan tersusun rapi dan ianya menyelaras pentadbiran dan perjalan mahkamah di seluruh Terengganu diatas dasar dan perinsip kehakiman Islam.

Dalam masa pemerintahan, Baginda juga telah membuat Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamai akan dia Itqaanul Muluk bit Ta'dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:

Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.

Walaupun terpaksa menerima kehadiran pihak British, Sultan Zainal Abidin III bertegas dengan prinsip dan keputusannya sehingga Sir John Anderson, bersetuju dengan draf perjanjian yang secara keseluruhan dirangka semula oleh baginda.

Dalam perjanjian tersebut secara jelas diperakukan bahawa negeri Terengganu merupakan negeri Malayuwiyyah Islamiyyah yang memerintah sendiri.

Sikap ini sebenarnya menunjukkan bahawa Sultan Zainal Abidin III tetap tidak mahu tunduk dan menyerahkan kemerdekaan Terengganu kepada Kerajaan British, sebuah kerajaan bukan Islam atau kafir.

Ketegasan Sultan Zainal Abidin III juga menjadikan negeri Terengganu satu-satunya negeri Melayu yang masih belum dikuasai sepenuhnya oleh pihak British.