Tuesday, May 7, 2013

Yang Menang Dan Yang kalah, Tetap Memikul Amanah

Bukan kita yang memulakan kehidupan dan perjuangan ini dan bukan kita yang akan menamatkannya! Oleh itu, tidak perlu dipuji melambung sesuatu kejayaan dan tidak perlu diratapi sesuatu kegagalan.

Bukanlah kita terjun ke ‘kancah ini’ dan berpencak di ‘medan ini’ untuk semata-mata mencipta sebuah kejayaan, namun seharusnya bersiap untuk menerima suatu kegagalan kerana kita tahu, kejayaan itu adalah bagaimana kita mengecapi saat-saat ketika kita menerima kegagalan.

Ketika RasuluLlah SAW, ‘disifatkan’ gagal dalam usahanya mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah di Ta’if, yang hanya kira-kira 60km dari Mekah, namun jarak pengalaman pahit yang dialami oleh Nabi SAW itu sudah berjalan lebih 1,400 tahun, untuk memberitahu kita, tentang tauladan dari kesahnya.

Ketika tentera Islam dipukul hebat, dalam perang Uhud selepas berjaya sebelumnya dalam Badar, ia tidak ‘merencatkan’ pelan jangka panjang yang telah ditetapkan bagi kemenangan Islam membuka Kota Makkah (bahasa Arab: فتح مكة, Fathu Makkah) pada tahun 630, malah membuka kota Kontstantinopel 823 tahun selepas pembukaan Mekah pada tahun 1453.

Bukankah Solahuddin al-Ayyubi telah membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 1187 dan kemudiannya Palestin telah ditawan dan dijajah semula oleh British pada 1917 yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948.

Sejak dari itu, bukan sedikit usaha untuk mendapatkan semula Palestin, namun sehingga kini sudah memakan masa selama 65 tahun, umat Islam masih kalah!

Yang kalah dan menang, kedua-duanya, tidak boleh bersenang lenang, kerana kedua-duanya akan terus, terpaksa meneruskan tugas sebagai kahlifah dimuka bumi Allah ini, menunaikan amanah yang di amanahkan.

Yang menang memikul amanah untuk mengisi kemenangan, yang kalah memikul amanah untuk mencipta sebuah kemenangan! Berterusan sehinggalah keamanan dan keadilan ditegakkan, dan ketika itu pun kerja-kerja tidak terhenti, kerana senantiasa ada musuh-musuh yang tidak mahu kepada kebaikan!

No comments: