Percubaan kumpulan ’10 budak hitam’ untuk menjatuhkan kredibiliti Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang baru berlalu tidak berjaya.
Walaupun sejak hari pertama persidangan, Ahmad telah diserang oleh seorang peguam, YB Alias Abdullah (BN-Alor Limbat), Ahmad mampu meneruskan pembentangan bajet negeri Terengganu sebesar RM1.881 bilion.
Alias mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.
Pertikaman lidah antara Alias dengan Ahmad yang cukup ‘tegang’ pada hari pertama tiba-tiba menjadi agak kendur apabila sampai kepada hari kedua persidangan, mengapa?
Rupa-rupanya Alias telah mendapat isyarat yang berupa amaran dari Putrajaya !
Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Hishamudin Hussein sebelum ini berkali-kali berwirid;
“Kedudukan Umno Terengganu kini cukup selesa, Umno Terengganu telah kembali bersatu, Umno Terengganu kini lebih baik dari hujung tahun lalu,”antara kata-kata Hisham yang diulang-ulangnya setiap kali turun ke Terengganu.
Belum pun habis dingin musim tengkujuh, bahang ‘panas’ perbalahan silam tidak dapat disembunyikan lagi oleh ADUN-ADUN Umno/BN Terengganu.
Tiga gelombang hujan lebat yang turun tidak memadamkan ‘dendam’ kesalahan Ahmad yang pernah disenaraikan oleh Alias sendiri sebagaimana berikut;
1. Ahmad meletakkan mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai beberapa agensi kerajaan negeri, termasuk Terengganu Inc.
2. Ahmad didakwa memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Idris termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail.
3. Bekas ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie diberhentikan sebagai pengerusi lembaga pengarah Kuantan Medical Centre (KMC) dan khidmatnya sebagai senator tidak disambung sepenggal lagi.
4. Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita (Umno) yang tidak lagi mampu menyumbang kepada negeri
5. Pengarah eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, pengurus besar Kemaman Supply Base (KSB), dan pengurus besar Konsortium Pelabuhan Kemaman juga dipecat.
6. Seorang penyokong PAS didakwa dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah syarikat perkayuan bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
7. Sementara dua bekas guru sekolah rendah masing-masing dilantik untuk memimpin Unit Terengganu Bestari (U-Best) dan KMC yang dianggap "tidak tepat."
8. Ahmad juga didakwa "membuat pertukaran besar-besaran (67 orang) para pegawai tadbir kerajaan negeri pada Disember 2008."
Itulah senarai panjang yang pernah di hantar kepada Perdana Menteri oleh ’10 budak hitam’ sejurus selepas berlakunya konspirasi terancang ‘SMS Ugut Bunuh’.
Namun apabila Hisham melihat, kata-katanya yang memperakui ‘Kemelut Umno Terengganu’ telah selesai, akan menjadi ‘tawar’ apabila ADUN-ADUN BN menyerang Meneteri Besarnya sendiri, cepat-cepat dihantarkannya ‘mesej’ – “perbalahan dalam Sidang DUN mesti dihentikan!”
Bukan orang lain pula yang turut mempertikaikan Menteri Besar Umno Terengganu itu, bahkan pegawai khasnya Dato’ Din Adam sendiri!
Sesi soal jawab pagi 21 Disember telah dimulakan dengan soal Din Adam (BN-Bukit Besi) yang bertanya, apakah ‘gerangan’ nama syarikat pengendali lombong bijih besi?
Din juga bertanya Ahmad, apa pula manfaat kepada rakyat tempatan ekoran pembukaan semula perusahaan bijih di dalam kawasan kampungnya dan Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya.
Ahmad menjawab kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Sdn Bhd.
Din tidak berpuas hati lalu berkata; "Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara tersebut,"
Ahmad berkata lagi, dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.
Namun kata Din hanya 15 orang sahaja orang tempatan yang bekerja dan salah sebuah syarikat yang melombong itu hanyalah seorang ‘taukeh’ pemungut dan pembeli besi buruk.
Ahmad menyindir Din dengan mengatakan Din kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya dia tidak mengetahui pembangunan yang berlaku di kawasan sendiri.
Mungkin kegusaran Din ada cerita disebaliknya, apabila nama salah sebuah syarikat yang diberi lesen melombong itu begitu hampir dengan syarikat yang pernah diberi kontrak projek pemanjangan lapangan terbang.
Projek Pakej IV (b), Kerja-kerja Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Kuala Terengganu - Penambakan Laut Dan Kawalan Hakisan Pantai bernilai RM66 juta telah diberikan kepada TBM Resources Sdn Bhd.
Oleh itu, mungkin bagi pendapat Din tidak wajar diberikan lesen melombong bijih kepada syarikat yang sama sekiranya benar-benar TBM Minerals Sdn Bhd itu ada kaitannya dengan TBM Resources Sdn Bhd
Di akhir persidangan pada 23 Disember, ketika menggulung ucapannya, Ahmad telah menyimpulkan dan menutup segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dengan satu ‘sumpah’.
Namun bukan ‘sumpah keramat’ itu yang menjadikan Ahmad kebal.
Mungkin pagar istana dimana beliau menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar dahulu terlalu kukuh!